Keghairahan pelakon Nora Danish mencari kelainan melalui rekaan tudung zip jenamanya mengundang pelbagai reaksi, termasuk sebagai bahan usikan di Internet.

Sifat gemar menghakimi sebahagian pengguna maya menjadikan Nora turut tidak terlepas daripada kritikan pelbagai ragam.

Pengguna Internet berpendapat pembaharuan pada tudung, iaitu zip dijahit pada bahagian tengah wajah sebagai sesuatu yang tidak dapat diterima akal.

Semuanya bermula apabila Nora, 34, memuat naik sebuah klip video di Instagram mengenai cara memakai tudung berzip itu.

“Saya tidak sabar untuk menunjukkan kepada anda tudung segera Owl Ezip kami. Sila tunggu maklumat terbaru bila-bila masa,” tulisnya.

Video itu kini telah ditonton hampir suku juta orang.

Ada pihak menyifatkan gaya tudung jenama OwlbyND itu seolah-olah menyerupai hantu bungkus, Ultraman, merepek malah tidak memahami fungsi rekaan zip berkenaan.

“Hahaha, lawaklah tudung depa @noradanish macam nak pergi berperang,” komen pengguna akaun faiz_tewizofficial.

Seorang lagi pengguna dengan akaun aethan94 pula menyamakan rekaan tudung berkenaan saling tidak tumpah seperti sarung bantal.

Bagaimanapun, kekasih Nedim Nazri, anak Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz, itu tidak terjejas dengan komen dilontarkan.

Dia sebaliknya mengucapkan terima kasih kepada pihak yang membantunya memasarkan tudung berkenaan secara tidak langsung.

Jika diambil kira dari sudut positif, mereka yang sukakan kelainan, tudung zip Nora ada memberikan jawapannya.

Kata Nora, kepada wanita yang gemar mengembara, semasa menaiki penerbangan tudung Ezip berfungsi menghindari perasaan malu sekiranya tertidur.

“Sesiapa rasa nak tidur dalam penerbangan ke apa, senang tutup saja muka, tapi janganlah jalan pun tutup, itu tak betul namanya,” katanya. – Malaysiakini

 

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share

SHARE