Sebuah pesawat komersial hibrid negara terkandas gara-gara sepasang suami isteri didakwa menyebut perkataan bom.- Foto Google

MELAKA: Sebuah pesawat komersial hibrid negara terkandas kira-kira tiga jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam, di sini, hari ini, gara-gara sepasang suami isteri didakwa menyebut perkataan bom.

Pesawat yang membawa seramai 38 penumpang itu sepatutnya dijadualkan berlepas dari lapangan terbang berkenaan ke Pekan Baru, Indonesia pada jam 11.15 pagi. Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Kominsioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah, berkata berlaku salah faham antara penumpang dan kakitangan syarikat penerbangan itu mengakibatkan pesawat itu tidak dapat berlepas pada masa ditetapkan.

“Kira-kira jam 10.40 pagi ada penumpang yang hendak berlepas ke Pekan Baru didakwa mengeluarkan perkataan bom di kaunter tiket.

“Lanjutan kejadian berkenaan, pihak polis dari Unit Siasatan Pemusnah Bom dan Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri menahan sepasang suami isteri berusia 40-an dan 50-an,” katanya pada sidang media di LTAM, sebentar tadi.

Shaikh Abdul Adzis berkata, pihaknya turut memeriksa bagasi dibawa pasangan warga Indonesia itu tetapi tidak menemui sebarang komponen atau elemen yang boleh dikaitkan dengan bahan letupan.

“Selepas siasatan lanjut dibuat, pihak polis mendapati berlaku salah faham antara penumpang dengan kakitangan pesawat ketika daftar masuk bagasi,” katanya lapor Berita Harian.

Katanya, pesawat itu hanya dibenarkan meneruskan penerbangan pada jam 2.10 petang selepas mendapati keadaan terkawal, manakala pasangan suami isteri itu diarahkan menaiki pesawat lain.

Beliau turut menasihatkan masyarakat terutama penumpang supaya lebih berhati-hati ketika mengeluarkan sesuatu perkataan yang sensitif, terutama perkataan berbaur ancaman.

 

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share