CHICAGO – AMERIKA SYARIKAT. Sebuah pesawat syarikat penerbangan American Airline Boeing 767 terbakar ketika cuba berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa O’Hare tengah hari semalam lapor CNN.

Pesawat tersebut sedang dalam perjalanan ke Miami membawa 161 orang penumpang serta sembilan anak kapal bergegas untuk menyelamatkan diri setelah api besar meletus di sebelah kanan pesawat.

Kira-kira 20 orang telah dibawa ke hospital kerana cedera ringan semasa pemindahan menggunakan slaid kecemasan namun begitu tiada kecederaan disebabkan oleh kebakaran itu.

Ramalan awal mengenai punca kebakaran tersebut adalah kegagalan enjin elektrik am namun begitu siasatan lanjut masih dilakukan.

Ketua kebakaran lapangan terbang, Timothy Sampey mengesahkan bahawa enjin nombor 2 pesawat tersebut telah terbakar serta mempunyai kira-kira 43,000 pound bahan api bagaimanapun sempat berhenti di akhir landasan.

“Perkara ini akan menjadi lebih dahsyat sekiranya kebakaran berlaku semasa di udara,” katanya.

Seorang penumpang, Gary Schiavone menceritakan pengalamannya berada di dalam keadaan huru-hara pesawat tersebut.

“Saya terdengar bunyi yang kuat dan kemudian kelihatan satu bebola api yang besar datang dari kawasan enjin. Mujurlah kapten sempat memberhentikan pesawat dengan segera.

“Keadaan selepas itu agak huru-hura namun masih terkawal. Tidak banyak jeritan didengari kecuali penumpang yang ingin mengambil beg mereka.

“Bagaimanapun, perkara yang menakutkan apabila asap mula memenuhi kabin ditambah lagi dengan kesukaran untuk bernafas, saya sangka pesawat ini akan meletup,” katanya ketika ditemu bual wartawan CNN.

Dia bagaimanapun memuji tindakan pantas krew pesawat tersebut untuk mengeluarkan semua penumpang ke tempat selamat dalam anggaran masa satu minit sahaja.

“Berikutan insiden itu, empat landasan lapangan terbang itu ditutup pada lewat petang semalam namun ia masih tidak menjejaskan operasi lapangan terbang,” kata Pesuruhjaya Jabatan Penerbangan Chicago, Halia Evans. – Reuters

 

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share

SHARE