Tan Sri Saw Huat Lye, tulang belakang dan penggerak penubuhan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS), yang menjadi syarikat penerbangan nasional pada 1971 meninggal dunia di rumahnya di sini, awal pagi, semalam.

Beliau yang menggalas jawatan sebagai ketua eksekutif MAS selama 11 tahun itu berjaya meletakkan syarikat penerbangan kebangsaan sebagai kebanggaan rakyat dan juga masyarakat seluruh dunia.

Malah, sebelum memegang jawatan utama dalam syarikat itu, Huat Lye juga adalah pengurus besar pertama MAS dan sepanjang tempoh perkhidmatannya telah meletakkan asas yang mencukupi dalam membentuknya menjadi syarikat penerbangan yang dikenali dan disegani.

Huat Lye yang dilahirkan di Kuala Lumpur pada 1935, mendapat pendidikan awal di Penang Free School sebelum meneruskan pengajian di Universiti Malaya, Singapura dalam jurusan ekonomi pada 1958. Beliau kemudiannya mengikuti pengajian Advanced Management Programme di Harvard Business School di Boston, Amerika Syarikat pada 1975.

Beliau menyertai perkhidmatan awam sebelum bersara pada 1971 untuk mengetuai penubuhan MAS berikutan perpecahan gabungan Syarikat Penerbangan Malaysia-Singapura (MSA) dan bersara pada 1982 selepas menerajui pengurusan syarikat itu selama 11 tahun.

MSA berpecah pada 1972 di mana dua pemegang saham utamanya mengambil keputusan untuk menjadi entiti berasingan iaitu MAS dan Singapore Airlines (SIA) yang mana SIA begitu nekad untuk membangunkan penerbangan antarabangsanya sendiri.

MAS pada awal pembabitannya dalam industri penerbangan hanya fokus kepada pembinaan jaringan penerbangan domestik sebelum mengambil keputusan untuk meneroka pasaran serantau dan antarabangsa yang lain.

Apabila pegangan dan kawalan penerbangan domestik semakin kukuh, MAS memulakan penerbangan laluan antarabangsa menuju ke Amsterdam, Paris dan Frankfurt dari pangkalannya di Kuala Lumpur.

Lebih membanggakan MAS adalah syarikat penerbangan pertama dari rantau Asia Tenggara terbang ke Amerika Selatan dengan penerbangan Kuala Lumpur ke Buenos Aires selepas menerima pesawat Boeing B747.

Sebelum menyertai MAS, Huat Lye menyertai Perkhidmatan Dalam dan Luar Negeri serta berkhidmat dalam pelbagai jawatan seperti Pembantu Setiausaha Negeri Perak, Pengerusi Majlis Perbandaran Taiping, Pembantu Pesuruhjaya Tanah Persekutuan di Kementerian Luar Bandar dan juga Penolong Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, anak mendiang, Saw Bee Kim berkata, majlis persemadian akan diadakan di krematorium di Shah Alam, Ahad ini.

“Kepada kenalan yang ingin memberi penghormatan terakhir boleh hadir di tingkat 22, Nirvana Memorial Centre, antara jam 6 petang hingga 11 malam mulai esok hingga Sabtu,” katanya. – Bernama

KLIK BACA: Sultan Muhammad V Kelantan dispekulasi Agong Baharu

TERBARU: Bank kena tutup, tidak mungkin pencuri tangkap diri sendiri, kata Husam

TERKINI: Dr Mahathir: Keluarga si mati tak boleh tuntut keadilan?

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share