Datuk Seri Najib Razak akan mengemukakan permohonan membatalkan tiga tuduhan pengubahan wang haram RM27 juta milik SRC International Sdn Bhd kerana tidak menunjukkan mempunyai jenayah asas kepada kesalahan penggubahan wang haram – Foto BBC

Muhammad Shafee Abdullah berkata, ia berkaitan dengan tujuh tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dana RM42 juta SRC, yang tidak boleh dibicarakan sendiri.

“Bagaimanapun, ia (tiga tuduhan itu) diketepikan dan dibicarakan berasingan. Kami pada bila-bila masa akan failkan permohonan untuk membatalkan tuduhan itu,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Budiman, Lutfi Mohamed bagaimanapun berkata, tiga tuduhan terhadap Najib adalah teratur dan sah.

Muhammad Shafee dan Budiman berkata demikian pada prosiding pengurusan kes tiga tuduhan pengubahan wang haram itu di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.

Terdahulu, Budiman memohon Mahkamah Tinggi menetapkan tarikh bagi perbicaraan kes berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan selama 13 hari bermula 2 Jun 2020 bagi perbicaraan kes terbabit.

Tarikh itu membabitkan 2 hingga 4, 9 hingga 11, 15 hingga 18 dan 23 hingga 25 Jun 2020.

Budiman sebelum itu memohon tarikh perbicaraan bermula seawal April, namun Muhammad Shafee meminta ia dimulakan pada Jun.

“Pihak kami perlu sedikit masa ‘untuk pulih daripada kecederaan’ selepas perbicaraan kes pecah amanah dan pengubahan wang haram dana RM2.28 bilion 1Malaysia Development Bhd (1MDB),” katanya.

Muhammad Shafee turut meminta perbicaraan pada setiap Jumaat dilapangkan kerana pasukan pembelaan memerlukan masa membuat persediaan untuk kes lain.

Permohonan itu dibenarkan Mohamed Zaini.

Pada 8 Februari lalu, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas tiga tuduhan pengubahan wang haram, tetapi kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Bagi ketiga-tiga tuduhan itu, Najib didakwa terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan menerima wang keseluruhannya RM27 juta iaitu hasil aktiviti haram dalam tiga akaun AmPrivate Banking miliknya.

Najib dituduh melakukan semua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, di sini, pada 8 Julai 2014 dan didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share