Sebelum ini Presiden Pas, Datuk Iskandar Abd. Samad dan Pakar Sejarah, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam menyifatkan penubuhan parti baharu Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) akan memecahbelahkan kaum melayu – Foto TheMalayMail

Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali turut menyifatkan pandangan kedua pihak itu lebih kepada bersifat peribadi mengikut persepsi masing-masing.

Kata beliau, jika mahu bercakap mengenai perpecahan kaum Melayu, Pas yang asalnya dari UMNO itulah bermulanya sejarah perpecahan itu sehingga kafir mengkafir sesama agama.

“Cakap mudah, boleh menyertai mana-mana parti berasaskan Melayu sedia ada. Bolehkah Pas atau UMNO menerima pemimpin seperti Presiden Perkasa?

“Sedangkan dalam parti berasaskan Melayu yang ada pun berpuak-puak, bukankan itu juga memecahbelahkan Melayu?

“Sesuatu pandangan yang hanya dilihat dari perspektif politik semata-mata memang nampak negatif wujudnya parti baharu, konon boleh memberi ancaman kepada parti sedia ada,” katanya

“Pas juga satu ketika dahulu pernah bergabung dengan DAP sehingga menganggap UMNO musuh utama, bukankah itu memecah belahkan Melayu?

“Penubuhan Putra jangan dilihat dari sudut negatif sahaja. Wujudnya Putra mungkin memberi pilihan kepada Melayu berjuang atas kepentingan agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

Beliau menyatakan, biar apa pun persepsi orang lain terhadap Putra, niatnya untuk kepentingan agama dan Melayu.

Jika DAP memperjuangkan perkauman, apakah salah Melayu dianggap perkauman untuk mempertahankan hak bangsanya dan lslam yang tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan?

Katanya, gabungan Pas dan UMNO mungkin untuk kepentingan politik semata-mata, tetapi belum pasti hala tuju masa depan.

“Harap jangan atas kertas sahaja cantik, tetapi pelaksanaannya belum pasti,” katanya sinis.

Beliau turut memberi beberapa sebab Putra yang diluluskan penubuhannya pada 9 Mei lalu bukan parti pemecah, sebaliknya menyatukan orang Melayu.

Sebabnya, UMNO belum dibersihkan dari personaliti penuh noda dan dosa, manakala Pas pula sedang bersilat dengan isu kartel dedak, jadi Putra yang masih suci bagaikan kain putih masuk gelanggang sebagai penebus maruah Melayu

Tidak ada satu pun parti politik Melayu boleh memikat hati anak muda usia 18 tahun ke atas yang akan layak mengundi dalam PRU 15, melainkan kemunculan Putra sebagai wadah Melayu baharu alternatif berpotensi menjadi parti pilihan utama mereka.

Katanya juga, tidak ada satu pun parti Melayu tulen yang boleh mencabar DAP sebagai parti Cina tulen.

“DAP yang ahli partinya sekitar 170,000 orang mampu menarik dan menyatupadukan Cina hinggakan dapat memastikan sokongan 95 peratus pengundinya kepada Pakatan Harapan (PH).

Justeru, Putra akan dijenamakan sebagai parti Melayu tulen yang akan menyatupadukan 95 peratus undi Melayu kepada parti pro Melayu.

Tegasnya, yang patut risau kehadiran Putra adalah DAP kerana parti baharu itu umpama buku bertemu ruas kepada parti cauvinis.

“Oleh itu, Pas dan UMNO tidak perlu risau kehadiran Putra, bahkan mengalu-alukan kehadirannya jika kedua-dua parti itu benar-benar jujur dan ikhlas untuk memperjuangkan Melayu.

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share