PM Dr Mahathir dilaporkan kecewa dengan Dr Sahruddin MB johor – Foto SarawakVoice

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dilaporkan marah dengan rombakan majlis eksekutif exco kerajaan negeri Johor, dikatakan mahu meletak jawatan, menurut laporan MalaysiaKini.

Sumber Malaysiakini berkata pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir mendedahkan perkara berkenaan semasa mesyuarat kecemasan majlis tertinggi parti pada malam Isnin lalu.

“Beliau begitu kecewa dan terkejut kerana menteri besar baru (Dr Sahruddin Jamal) tidak mematuhi nasihatnya untuk mengekalkan barisan exco,” katanya.

Menurut sumber, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang juga ketua Pemuda Bersatu, berjaya meyakinkan Mahathir supaya tidak melepaskan jawatannya.

Malaysiakini gagal menghubungi Syed Saddiq untuk mendapatkan ulasannya tetapi sumber yang rapat dengannya mengesahkan perkara itu.

Menurut sumber, Mahathir pada mesyuarat itu memberitahu bahawa beliau begitu kecewa pada pagi itu – apabila tiga ahli exco baru mengangkat sumpah jawatan – dan bercadang mahu melepaskan jawatannya.

Anggota majlis tertinggi yang lain kemudian meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap keingkaran menteri besar itu.

“Bagaimanapun, semasa mesyuarat baru bermula, Mahathir kembali tenang,” kata sumber itu, sekali gus menafikan dakwaan yang disebarkan di media sosial kononnya perdana menteri mengancam untuk meletak jawatan pada mesyuarat itu.

Pada 13 April lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilaporkan bertitah bahawa menteri besar baru yang menggantikan Osman Sapian, yang meletak jawatan selepas 11 bulan menerajui negeri itu perlu juga merombak barisan exco.

Mahathir, yang sering tidak sehaluan dengan istana Johor dalam pelbagai isu, berkata Sultan tidak mempunyai pengaruh dalam perkara berkenaan.

Sebelum itu, Perdana Menteri berkata jika Raja-raja dianggap memiliki kuasa untuk memilih perdana menteri dan menteri besar, Malaysia tidak boleh lagi dikira sebagai negara demokrasi.

Mengulas lanjut, sumber itu berkata menteri besar baru mungkin tunduk terhadap desakan sultan selepas berunding dengan presiden Bersatu dan pemimpin Bersatu Johor, Muhyiddin Yassin.

“Muhyiddin memberitahu mesyuarat bahawa semasa kejaddian itu, beliau berada di luar negara untuk mendapatkan rawatan perubatan dan tidak menyedari keputusan parti itu.

“Jadi apabila Shahruddin merujuk kepada Muhyiddin (semasa beliau di luar negara), nasihatnya adalah menteri besar harus memilih (exco) yang selesa bekerja dengannya,” kata sumber itu.

Sumber itu mendakwa bahawa apa yang berlaku adalah kes salah faham.

Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa Muhyiddin telah memohon maaf kepada Mahathir dan menjelaskan peristiwa yang membawa kepada rombakan exco semasa mesyuarat itu.

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share