Bayi meninggal dalam pesawat AirAsia Australia. – Foto Pedestrian TV

AirAsia hari ini mengesahkan seorang bayi berusia dua bulan telah meninggal dunia dalam pesawatnya semasa penerbangan dari Kuala Lumpur ke Perth, Australia pagi tadi.

Melalui ibupejabatnya di Sepang, AirAsia pagi ini memaklumkan, bayi berkenaan mengalami ‘kecemasan perubatan’ ketika berada dalam penerbangan D7236.

Menurut AirAsia, pesawat itu disambut oleh pasukan pakar perubatan kecemasan dan pihak berkuasa termasuk Polis Australia Barat, sejurus selepas mendarat di Perth.

“Kami tidak dapat mengulas lanjut mengenai keadaan perubatan bayi tersebut. Bagaimanapun, bayi dan keluarga yang terlibat dalam ingatan kami,” kata AirAsia dalam satu kenyataan rasmi.

Susulan insiden berkenaan, penerbangan itu yang dijadualkan berlepas pagi Isnin pada jam 6.50 pagi, telah ditunda ke jam 11 pagi waktu tempatan.

“Keselamatan dan kesejahteraan penumpang sentiasa menjadi keutamaan nombor satu kami, dan mengikut prosedur, kru penerbangan telah meminta bantuan perubatan semasa mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Perth.

“AirAsia akan membantu dan menempah semula penumpang yang mempunyai penerbangan terus dari Kuala Lumpur petang ini.

“AirAsia memohon maaf atas sebarang kesulitan yang disebabkan oleh kelewatan Penerbangan D7237,” katanya.

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share