Idea menghidangkan di dalam kuali kecil timbul apabila mahu mencari kelainan memandangkan mi kuah tulang banyak dijual di daerah itu. — Foto ihsan Facebook/Mi Belanga

KULIM – Walaupun baharu berusia 25 tahun, seorang pemuda dari Kampung Sungai Seluang, di sini berupaya memperoleh pendapatan melebihi RM10,000 sebulan hasil menjual mi kuah di gerainya sejak tiga tahun lepas.

Muhammad Iqbal Ahmad yang memiliki Diploma Kejuruteraan Mekanikal daripada Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Jitra menceburi perniagaan itu kerana minat dan tidak mahu bergantung kepada pendapatan tetap sebagai penyelenggara di sebuah syarikat kontraktor sebelum ini.

“Selepas tamat pengajian saya bekerja selama dua tahun di syarikat tersebut dengan gaji RM1,500 dan pada masa yang sama saya menjalankan perniagaan kecil-kecilan termasuk menjual produk kesihatan dan minyak wangi secara dalam talian dengan menggunakan modal daripada gaji bulanan.

Selepas dua tahun saya mengambil keputusan berhenti kerja dan membuka gerai makanan menjual mi kuah sejak tiga tahun lalu dengan modal hasil daripada gaji dan simpanan yang diperoleh daripada berniaga secara kecil-kecilan itu,” katanya ketika ditemui Bernama di gerainya di sini, baru-baru ini.

Namun, menurutnya menjalankan perniagaan makanan tidaklah mudah kerana selain perlu menyediakan hidangan yang enak dan menarik, perniagaannya terpaksa menghadapi persaingan daripada penjual makanan yang lain.

Menyedari perkara itu, Muhammad Iqbal berkata dia perlu bertindak kreatif dan mencari kelainan bagi memikat hati orang ramai berkunjung ke gerainya untuk menikmati hidangan ‘mi kuah tulang’ yang dihasilkan menerusi resipi yang dipelajari daripada ibunya.

“Saya seterusnya mempromosikan mi kuah saya menerusi medial sosial seperti Facebook dan selepas seketika saya mendapat idea untuk menghidangkan makanan saya ini di dalam belanga kepada pelanggan dan kini sudah terkenal sebagai ‘mi belanga’,” kata anak bongsu daripada lima beradik itu.

Selain itu, demi memastikan kepuasan hati pelanggannya Muhammad Iqbal turut menyediakan hidangan lain di gerainya antaranya set nasi ayam kampung, set ikan bawal, set ikan pari, dan kurma kambing.

Walaupun boleh dianggap berjaya dalam perniagaan makanan itu, Muhammad Iqbal yang memiliki minat tinggi dalam bidang ternakan haiwan ruminan dan turut menjalankan perniagaan menternak dan menjual kambing, biri-biri dan lembu.

“Idea untuk mencuba bidang ternakan kambing, lembu dan biri-biri juga timbul selepas ternampak iklan di Facebook di mana saya dapati ada banyak permintaan terhadap kambing terutamanya dan harganya juga mahal.

“Sekarang saya berjaya menjadi pembekal kambing serta biri-biri dan lembu untuk pasaran kawasan utara tanah air seperti Kedah, Perak, Perlis dan Pulau Pinang, malah tidak cukup bekalan,” katanya.

Katanya, bagi memastikan perusahaan ternakannya dapat bertahan dan berjalan dengan baik, beliau turut mendapatkan nasihat daripada agensi-agensi kerajaan yang berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan mengikuti pelbagai kursus berbayar untuk mendapatkan kemahiran dan idea untuk mengembangkan perniagaannya.

“Saya juga mendapat geran bantuan daripada Lembaga Pertubuhan Peladang sebanyak RM20,000 untuk menambah baik kandang kambing, lembu dan biri-biri mengikut spesifikasi disarankan Jabatan Perkhidmatan Veterinar,” katanya yang boleh mendapat jualan sebulan sehingga melebihi RM20,000. — Bernama

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share