Gambar Bernama

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berharap Amerika Syarikat (AS) akan mengeluarkan negara ini daripada senarai ‘K’, iaitu berpotensi untuk penculikan di pantai timur negeri ini.

Pelancong dari China dan Eropah masih berduyun-duyun ke negeri ini termasuk Semporna dan Pulau Sipadan kerana Sabah masih selamat, kata beliau.

“Saya berharap permintaan Kementerian Luar untuk mengeluarkan Malaysia (daripada senarai itu akan diberikan perhatian) dan kawasan itu adalah selamat dikunjungi. Keadaan adalah terkawal dan tidak ada apa yang perlu dibimbangkan.

Penculikan pernah berlaku sebelum ini tetapi kami melakukan yang terbaik bagi memastikan keselamatan diperketatkan dan pemantauan dipertingkatkan di kawasan itu,” katanya.

Mohd Shafie berharap AS boleh memberi maklumat mengenai sebarang kemungkinan ancaman di kawasan itu dengan berkongsi maklumat risikan.

Baru-baru ini, Jabatan Negara Amerika Syarikat menandakan ‘K’ ke atas 34 negara yang dikenal pasti mempunyai risiko penculikan dan pengambilan tebusan oleh penjenayah dan pengganas termasuk Malaysia.

Untuk Malaysia, timur Sabah ditandakan sebagai sebuah wilayah dengan peningkatan risiko penculikan.

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share