Negeri Sembilan – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli meminta pengundi Melayu di Rantau jangan memperbodohkan diri dengan mengundi calon yang tidak sepatutnya semasa keluar mengundi esok.

Pengundi Melayu Rantau tidak sepatutnya keluar mengundi dengan prasangka dan sentimen perkauman yang salah kerana perbuatan itu akan merugikan mereka, kata Rafizi.

“Kalau mereka rasa hanya boleh undi calon Melayu sahaja walaupun pencuri, orang Islam yang jahat tak mengapa sebab paling kurang bukan kafir harbi, orang (Melayu) macam ini kita tidak boleh diubah. Kita nak yakinkan orang Melayu yang berpandangan terbuka.

“Kalau nak Melayu maju, cerdik, tak takut dengan India dan Cina dan boleh bersaing mencari rezeki, kita mesti menakluki prasangka perkauman yang cuba ditanam UMNO dan Pas,” katanya

Sementara itu, Rafizi memberi amaran kepada UMNO dan Pas bahawa adalah mustahil kedua-dua parti tersebut dapat terus memainkan isu perkauman dalam kalangan pengundi Melayu.

Menurutnya, beliau akan ‘menanam’ UMNO serta Pas dengan membongkar seberapa sebanyak perbuatan pemimpin terdahulu merompak duit rakyat dan menenggelamkan institusi Melayu.

“Kita akan terus kejar kamu. Kamu jangan cuba bermuka-muka guna nama Melayu sedangkan kamu sebagai penyangak rompak semua,” katanya.

Terdahulu, Rafizi berkata, kerajaan PH akan mendapat sokongan pengundi Melayu jika melaksanakan program seperti di Singapura bagi menaikkan gaji pekerja.

Kata beliau, Singapura sebelum ini mewujudkan undang-undang mesti ada kenaikan gaji wajib dan kerajaan akan meminjamkan wang kepada majikan yang tidak berkemampuan menaikkan gaji pekerja.

“Kerajaan perlu campur tangan naikkan gaji pekerja kerana jika nak tunggu majikan naikkan sendiri, pekerja ‘mati’ dulu sebab kenaikannya tidak sama laju dengan kenaikan harga barang.

“Kalau ada usaha kearah itu saya yakin pengundi atas pagar dan Melayu akan setuju kerajaan PH lebih baik, jujur dan kreatif berbanding pentadbiran bekas Menteri Kewangan paling corot di Asia iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak yang tak tahu malu,” katanya.

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share