Rosmah sekali lagi didakwa terima rasuah RM5 juta

82

ISTERI bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, atas pertuduhan baharu kes menerima rasuah berjumlah RM5 juta berhubung projek tenaga solar sekolah di Sarawak lapor Harian Metro.

Rosmah, 68, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas pertuduhan itu selepas dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Beliau didakwa menerima rasuah berjumlah RM5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Ia sebagai dorongan upah untuk membantu Jepak Holdings Sdn Bhd mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Bagi kesalahan itu, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar menawarkan jumlah jaminan RM1 juta dengan seorang penjamin kerana kes ini adalah kes serius membabitkan suapan berjumlah RM5 juta.

Bagaimanapun, peguam Datuk Akberdin Abdul Kadir memohon supaya mahkamah mengguna pakai jaminan yang telah dikenakan kepada anak guamnya dalam dua tuduhan kes rasuah sebelum ini membabitkan projek sama.

“Anak guam saya adalah suri rumah sepenuh masa dan jumlah jaminan RM1 juta adalah terlalu tinggi.

“Mohon mahkamah mengguna pakai jaminan lama terhadapnya,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan Rosmah mengguna pakai jaminan terdahulu, RM1 juta bagi kes ini.

Selain itu, mahkamah menetapkan 10 Mei depan sebagai sebutan semula kes.

Pada 15 November tahun lalu, Rosmah mengaku tidak bersalah atas tuduhan meminta suapan RM187.5 juta, iaitu 15 peratus daripada nilai kontrak daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share

SHARE