PUTRAJAYA – Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini sekali lagi dipanggil memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung projek sistem solar sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Beliau tiba kira-kira pukul 1.40 petang dengan menaiki kereta jenis Proton Perdana berwarna hitam.

“Rosmah dipanggil memberikan keterangan ekoran wujudnya penemuan baharu terhadap siasatan kes berkenaan,” katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.

Difahamkan, ini adalah kali kedua Rosmah dipanggil SPRM berhubung dakwaan melibatkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar hibrid untuk sekolah-sekolah di pedalaman Sarawak.

Rosmah bersama bekas pegawai khasnya, Datuk Rizal Mansor didakwa menerima rasuah berkaitan dengan projek tenaga solar berkenaan, pada 15 November lalu.

Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak, dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin.

Rizal pula menghadapi empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah untuk dirinya dan Rosmah berhubung projek sama, dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan dua orang penjamin.

Kontroversi projek tenaga solar itu tercetus pada Jun tahun lalu ekoran pendedahan sebuah portal berita yang mendakwa projek bernilai RM1.25 bilion diberikan melalui penganugerahan kontrak secara terus di bawah arahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib turut didakwa mengarahkan Kementerian Pendidikan pada Januari tahun lepas agar melantik sebuah syarikat perniagaan kereta sewa di Bintulu bagi projek hibrid solar untuk 369 sekolah pedalaman di Sarawak.

Selain Rosmah, Najib dan bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid turut dipanggil SPRM untuk membantu siasatan berhubung kes tersebut.

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share