Dr Mahathir berkata kredit yen akan membantu negara untuk menangani masalah hutang yang besar. — Foto Reuters

TOKYO Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Selasa berkata beliau meminta Jepun memberi kredit yen kepada Malaysia, dengan rakan sejawatannya itu Shinzo Abe berkata beliau akan menimbang permohonan itu.

Dr Mahathir dalam taklimat kepada wartawan Malaysia mengenai hasil lawatan kerja tiga harinya ke Jepun, berkata beliau menyebut perkara itu kepada Abe pada pertemuan sebelum itu mengenai pinjaman mudah yang diberikan oleh Jepun kepadanya ketika beliau (Dr Mahathir) menjadi perdana menteri sebelum ini, dengan kadar faedah hanya 0.7 peratus yang dibayar balik lebih 40 tahun.

“Pada masa itu kedudukan kewangan Jepun sangat baik. Namun kali ini, kita juga meminta beliau menimbang memberikan kredit yen kepada Malasia dan beliau bersetuju untuk menimbangkannya,” katanya.

“Kredit yang dia (Jepun) bagi itu untuk kita buat apa yang kita janji dengan dia, mungkin juga kita akan selesaikan pinjaman berkos tinggi yang kita ada dan menggantikannya dengan kredit yen.

“Oleh itu, kadar faedah akan lebih murah dan kita tidak perlu menanggung faedah yang besar, untuk tempoh yang lama,” kata Dr Mahathir.

Kerajaan baharu di bawah kepimpinan Dr Mahathir, yang mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri ketujuh bulan lepas, mendapati hutang kerajaan persekutuan mencecah RM1 trilion, dan berusaha menurunkan paras berkenaan.

“Kredit yen ini kalau diberi sebagai soft loan (pinjaman mudah) akan menolong membantu kita untuk tangani masalah hutang kita yang besar.

“Kita tak semestinya menyelesaikan pinjaman lama, tetapi yang murah ini (kadar faedah) ini boleh menyumbang kepada pemulihan situasi hutang kita,” kata perdana menteri.

Beliau menarik perhatian bahawa Malaysia mengambil pinjaman sebelum ini dengan kadar faedah yang amat tinggi sehingga mencecah enam peratus, dan ada juga orang yang menguruskan kredit ini mendapat komisyen sehingga 10 peratus.

Jelasnya: “Bila kita bagi 10 peratus komisyen, bermakna kalau kita ambil (pinjaman) 100 juta, bermakna kita dapat hanya 90 juta, tapi kita masih kena bayar dengan kadar faedah yang sama seperti 100 juta.

“Jadi kalau kita ambil 90 juta, tetapi kita bayar untuk 100 juta bermakna faedah itu meningkat dari enam peratus kepada tujuh atau 7.5 peratus. Ini menyebabkan kos meminjam terlalu tinggi.”

“Kalau kita boleh kurangkan kos itu dengan kita mungkin pinjam dari punca yang lain, yang mana kadar faedanya rendah, kita akan dapat menyelesaikan pinjaman lama,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata jumlah kredit yen yang dipohon tidak dibincangkan bersama Abe.

Dr Mahathir turut ditanya mengenai laporan bahawa projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura tidak dibatalkan tetapi sebaliknya ditangguhkan.

“Ia ditangguhkan, namun pada masa ini kami perlu kaji semula, dan jika kekurangan dana. kami akan tangguhkan pelaksanaannya atau mengurangkan skop projek itu,” katanya. — Bernama

KLIK BACA: Umno perlekeh lawatan Tun M ke Jepun, Malaysia negara koboi?

KLIK BACA: Buang masa dan duit saja Ku Li jadi Presiden Umno

KLIK BACADi mana salahnya apabila blogger A Kadir Jasin 

KLIK BACA: Bukan mudah walaupun ramai tunggu Najib ditangkap, kata Dr Mahathir di Jepun

KLIK BACA: Dr Mahathir mengaku tiada bukti saya curi wang 1MDB – Najib

KLIK BACA: Jho Low serah sendiri surat, PM Tun Mahathir tak beri muka

KLIK BACA: Kerajaan tak akan guna wang curi untuk bayar haji, kata Dr Mahathir di Jepun

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share

SHARE