oleh Melati A. Jalil dan Yasmin Ramlan

Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir berkata, gabungan parti pembangkang akan memecat kesemua pegawai kerajaan yang melindungi Perdana Menteri Najib Razak.

Tindakan itu akan dibuat kerana Najib merupakan seorang “penjenayah,” kata bekas menteri besar Kedah itu dalam satu sesi dialog di Senawang, hari ini.

Katanya ia akan disenaraikan sebagai tindakan yang akan dilaksana oleh Pakatan Harapan (PH) dalam masa 30 hari selepas berjaya menawan Putrajaya.

“Kalau kami berjaya tubuhkan kerajaan dengan mandat (yang diberikan) tuan-tuan dan puan-puan, saya boleh masukkan janji dalam 30 hari, kami akan pecat kesemua pegawai tinggi kerajaan.

“Ini melampau. Kalau nak berpihak kepada ‘government of the day’ itu tak apa. Tapi mereka melampaui batas (dengan) melindungi penjenayah.

“Bagi kami (Perdana Menteri) Najib Razak itu penjenayah. Ia satu yang tak boleh diterima,” kata Mukhriz lagi kepada kumpulan anggota NGO dalam program itu.

Tegasnya, pegawai berkenaan memegang amanah untuk menjaga kepentingan rakyat dan bukannya menjaga individu tertentu.

Selain itu, PH juga akan mengubah cara pelantikan jawatan utama dalam badan kerajaan supaya ditentukan oleh ahli parlimen sebelum dikemukakan untuk mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong.

Katanya ia termasuk pelantikan untuk jawatan ketua polis negara, ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan peguam negara.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai rancangan PH untuk menangani pegawai tertinggi kerajaan selepas 30 hari memenangi pilihan raya umum 14.

Hanya Dr Mahathir layak lawan Najib

Mukhriz juga memberi jaminan bahawa Dr Mahathir yang juga bapanya itu tidak akan menjadi perdana menteri untuk tempoh lama dan hanya mengisi jawatan tersebut untuk melawan Najib.

“Tapi dia selalu sebut umur dah 92, jadi takkan lama sangat nak pegang jawatan tu,” katanya.

Pada masa sama beliau mengakui bahawa banyak negara di seluruh dunia memilih pemimpin muda untuk menerajui kerajan.

Namun hanya Dr Mahathir Mohamad yang mampu menewaskan Najib dalam pilihan raya umum akan datang, tegasnya.

“Yang betul-betul boleh kalahkan Najib Razak dan (isterinya) Rosmah Mansor dan seluruh jentera Barisan Nasional (BN), tak lain tak bukan hanya Tun Dr Mahathir Mohamad yang layak,” katanya.

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata timbalan pengerusi PH Dr Wan Azizah Wan Ismail juga calon timbalan perdana menteri terbaik untuk meyakinkan rakyat supaya memilih gabungan parti itu. – Sumber ihsan The Malaysian Insight

KLIK BACA: Kontroversi doa PAS yang dibaca Ustaz Dusuki untuk hancurkan ‘pakatan jahat’?

KLIK BACA: Najib kena sedar dia pun ‘tua’ juga macam Tun Mahathir

KLIK BACA: Memalukan sindiran MSNBC rampasan Equanimity akan menyumbang kekayaan Amerika – Datuk Kadir Jasin

KLIK BACA: Saya rasa 1MDB sendiri bogelkan diri sebab tak tahan kepanasan – Hanipa Maidin

KLIK BACA: Kegilaan Pekan mulanya sokong kemudian hapus subsidi perkenal GST kini konon anjur jualan murah – Rafizi Ramli Parlimen

KLIK BACA: Tulisan mengejutkan Tan Sri Sanusi – Sirul pembunuh Altantuya?

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share