oleh Mohd Ali Hashim

Sempena ulang tahun Kongres Melayu Se-Malaya yang ke-72 pada 1 Mac, Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Tan Sri Haji Mohd Yussof Abdul latiff (gambar atas) menyarankan kepada semua pimpinan Umno supaya membuang sifat tamak dan haloba serta mementingkan diri sendiri.

Begitu juga sikap mengejar pangkat, kedudukan dan kemewahan serta melonggokkan harta.

Beliau berkata demikian sebagai mengenang Kongres Melayu Se-Malaya yang merupakan kongres pertama yang beliau sendiri sertai ketika berusia 16 tahun bersama-sama dengan 41 persatuan, kesatuan serta pimpinan masyarakat di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru pada 1 hingga 4 Mac 1946.

Ujarnya lagi, seharusnya hari ulang tahun Kongres Melayu Pertama tersebut diraikan secara besar-besaran bagi mengenang sejarah penyatuan semua persatuan dan kesatuan bagi menentang penjajah Inggeris ketika itu.

Namun begitu katanya, ia hambar dan seolah-olah dilupakan walaupun ia merupakan detik bersejarah pertama perhimpunan orang Melayu dari seluruh Tanah Melayu ketika itu.

Beliau yang juga merupakan Presiden Pemenang sejak tahun tahun 1984 sehingga sekarang meluahkan rasa simpati dan sedih terhadap pergolakan yang pernah berlaku ketika menentang Malayan Union.

“Kongres Melayu Se-Malaya tatkala itu adalah kongres pertama yang menyemarakkan semangat menentang Malayan Union dan penjajahan Inggeris dengan mempertahankan kedaulatan tanah air ketika itu.

“Dari situ jugalah ia melahirkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau Pekembar dengan Allahyarham Dato’ Onn Jaafar sebagai penerajunya yang pertama.

“Ia bermotifkan untuk menentang penjajahan Inggeris dan Malayan Union serta menyatukan orang Melayu tatkala itu,” jelasnya.

Kongres Melayu Se-Malaya di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru Kuala Lumpur pada 1 hingga 4 Mac 1946.

Beliau yang pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang dari tahun 1965 hingga 1969 turut berkata, Dato Onn pernah meninggalkan Umno dan menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya setelah cadangan beliau untuk membuka keahlian parti kepada penduduk Tanah Melayu ketika itu tidak dipersetujui.

“Sebagai Presiden Pemenang selama 33 tahun, pelbagai insiden yang pernah berlaku membabitkan perpecahan orang Melayu tidak menguntungkan.

“Dalam banyak perkara membabitkan kuasa dan tampuk pemerintahan sejarah telah membuktikan perpaduan orang Melayu semakin rapuh selepas kongres tersebut.

“Sejarah juga telah memperlihatkan bagaimana perbezaan pandangan telah menyebabkan banyak parti wujud hasil perpecahan dalam Umno,” tegasnya lagi.

Katanya lagi, Umno seharusnya menjadikan sejarah bagaimana wujudnya parti Semangat 46 apabila berlakunya konflik melibatkan sokongan penyokong Tengku Razaleigh Hamzah sehingga berlakunya perpecahan.

“Begitu juga dengan kewujudan PKR merupakan pukulan yang besar setelah berlakunya krisis kepimpinan melibatkan pimpinan Umno yang didokong oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Manakala Pas yang sebelum ini mendakwa memperjuangkan Islam dan orang Melayu turut menerima tempias kerana Pas juga asalnya adalah mereka yang pernah menganggotai Umno sebelum itu.

“Hizbul Muslimin yang dipimpin oleh Datuk Asri Muda serta Berjasa yang dipimpin oleh bekas Menteri Besar Kelantan, Dato Muhamad Nasir adalah antara bukti krisis parti yang didokong oleh orang Melayu termasuk pemimpin Pas yang keluar parti dan menerajui parti baru, ” katanya lagi.

Tambahnya lagi, kini dengan kehadiran Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga merupakan parti yang dipimpin oleh pimpinan Umno dan Pas yang telah keluar parti.

Oleh kerana itu katanya sikap amanah, bertanggungjawab dan adil kepada rakyat yang dipimpin akan membawa manfaat yang besar bukan saja kepada parti yang memerintah tetapi juga kepada negara.

Sehubungan itu jelasnya, pemimpin Umno mesti sanggup untuk menerima perubahan sekiranya ingin mengekalkan kuasa yang ada dengan bersikap adil kepada rakyat yang sedang dipimpin. – Sumber ihsan Malaysia Dateline

KLIK BACA: Rafidah Aziz dedah jumpa Kapal Jho Low di Phuket tapi kerajaan tak dapat cari

KLIK BACA: Dapat Jho Low saya nak perah keluar duit, tapi mesti undi PH – Tun Mahathir

KLIK BACA: Orang ambil dadah pun tahu Perdana Menteri adalah pegawai awam, kata Dr Mahathir

KLIK BACA: Kenapa Umno lebih sayang Jho Low dari Robert Kuok? 

KLIK BACA: Bagaimana manusia seperti ini boleh berkawan dengan pembesar negara – Mahfuz

KLIK BACA: PAS kesal negara rugi Swiss untung atas angin rampasan wang kerana Msia tidak mahu tuntut

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share

SHARE