UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) bakal memperkenalkan varian terbaru kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza 1.5X dalam masa terdekat yang dikatakan mempunyai penampilan lebih ranggi dan menarik.

Varian terbaru itu sudah dibuka untuk tempahan bermula 5 Februari lalu dan dijual pada harga RM82,700 (tidak termasuk insurans).

Avanza 1.5X baharu itu menampilkan bampar depan dan belakang dengan kemasan hitam dan perak, serta kemasan tambahan pada bahagian lengkungan ruang tayarnya.

Pelekap bahagian sisinya juga turut menyumbang kepada imej segar, di samping memberikan perlindungan kepada cat pada badan kenderaan.

Gabungan refelektor pada bahagian belakangnya pula disepadukan dengan lampu, menghasilkan sentuhan yang lebih bergaya.

Malah, varian baharu itu juga menawarkan aksesori pilihan seperti hiasan pada bumbung dan rim aloi bersaiz 16 inci, sekali gus menampakkan kelainan kepada penampilannya.

Seperti model terdahulu, ia masih mengekalkan identitinya sebagai MPV kegunaan keluarga dengan kemampuan untuk menampung tujuh penumpang serta tiga barisan tempat duduk, yang mana barisan kedua dan ketiga dibahagi kepada dua seksyen sekata dan boleh dilipat untuk mendapatkan ruang kargo tambahan sekiranya perlu.

Selebihnya, tumpuan diberikan terhadap keselesaan penumpang seperti sistem pendingin hawa dengan dwi-penghembus dengan penghembus keduanya terletak pada bahagian siling.

Selain itu, pemilik Avanza 1.5X yang ingin menaik taraf sistem infotainment turut ditawarkan pilihan sistem DVD-AVX atau DVD-AVN yang dilengkapi skrin sentuh serta paparan kamera undur.

Bagi DVD-AVN, ia turut dilengkapi pelayar internet (memerlukan sambungan WIFI) dari pengguna) dan sistem petunjuk arah GPS.

Dari segi keselamatan, semua varian Avanza termasuk 1.5X baharu itu dilengkapi dua beg udara di bahagian depan, dengan setiap tujuh tempat duduk disertakan tali keledar 3-poin serta dua tapak ISOFIX pada barisan kedua untuk membolehkan pengguna memasang kerusi keselamatan kanak-kanak.

Avanza 1.5X akan mula dipamerkan bermula 24 Februari ini ketika acara hujung minggu Toyota Weekender di semua bilik pameran Toyota.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web rasmi Toyota di pautan toyota.com.my

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share