Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tidak bersetuju dengan kenaikan kadar caj perkhidmatan penumpang (PSC) di lapangan terbang seluruh negara.

Timbalan Presiden Fomca Mohd Yusof Abdul Rahman berkata kenaikan itu akan menyusahkan pengguna terutama sekali kepada mereka yang kerap menggunakan kapal terbang.

“Peningkatan kemudahan tidak pula dilakukan. Di klia2 umpamanya, masih lagi kurang daripada segi tempat menunggu dan sebagainya.

“Kemudahan masih lagi berkurangan, tak berbaloi kita terpaksa membayar pada harga tinggi,” katanya lapor FreeMalaysiaToday.

Akhbar The Sun kelmarin melaporkan kadar PSC di lapangan terbang seluruh negara dijangka naik, termasuk bagi kategori penerbangan domestik dan Asean.

Ia memetik sumber penerbangan yang berkata PSC akan ditetapkan RM11 untuk penerbangan domestik, RM35 untuk Asean dan RM73 untuk antarabangsa.

Laporan itu turut mendakwa kadar baharu itu sudah pun diluluskan Kabinet pada Rabu dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

PSC di KLIA pada masa ini ialah RM9 (domestik) dan RM65 (antarabangsa), manakala di klia2 RM6 (domestik) dan RM32 (antarabangsa).

Yusof berkata jika kadar peratusan PSC dinaikkan terlalu tinggi, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) seharusnya mengkajinya terlebih dulu kenaikan terbabit.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata tindakan untuk menaikkan caj PSC merupakan satu langkah yang ‘tidak pandai’ dan ‘tidak baik’ kerana masanya salah.

“Dalam keadaan tertentu patutnya diberi perhatian kepada perkhidmatan. Meningkatkan perkhidmatan bukan naikkan caj terhadap penumpang,” katanya.

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share

SHARE