Tun Dr Mahathir menjawab kritikan perbedaan layanan sebagai ‘Perdana Menteri Malaysia’ lawatan beliau dan Najib ke Amerika.

oleh Dr Mahathir Bin Mohamad

Sekembalinya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke tanahair, bermacam-macam tohmahan dan fitnah dilempar olehnya terhadap pengkritik lawatannya ke Amerika Syarikat. Saya diberi tempat utama dalam kempen fitnah ini.

Kononnya sambutan Trump kepadanya lebih baik dari sambutan kepada lawatan saya.

Sebenarnya layanan terhadap Najib adalah yang terburuk sekali berbanding dengan layanan terhadap diri saya dan pemimpin-pemimpin lain semasa lawatan rasmi pertama kali pemimpin baru ke Amerika.

Mengikut laporan akhbar dan media Amerika layanan terhadap Najib adalah seperti layanan terhadap “pariah”.

Advertisements

Saya melawat Amerika Syarikat secara rasmi selepas saya melawat Kanada tiga tahun selepas menjadi perdana menteri. Pemerintahan Amerika Syarikat hantar pesawat khas presiden ke Lapangan Terbang La Guardia di New York untuk membawa saya dan isteri ke Washington DC.

Dari Pangkalan Udara Andrew saya diterbangkan dengan helikopter presiden ke bandar Washington. Saya disambut oleh pegawai tinggi Amerika Syarikat dan bermotor ke hotel Willard Washington DC. Ketika itu Blair House, tempat penginapan tetamu kerajaan sedang diperbaiki.

Dua buah kereta “stretched” disediakan untuk saya ke White House yang dihias dengan bendera Malaysia dan Amerika Syarikat. Cermin gelap di tingkap kereta menghalang orang ramai daripada mengetahui kereta yang mana yang saya guna.

Pertemuan paling mahal

Bendera Amerika ternampak hampir semacam dengan bendera Malaysia. Dengan itu ramailah penduduk Washington terkeliru dan memikir kereta-kereta ini membawa Presiden AS. Mereka melambai tangan sepanjang jalan.

Saya bertemu dengan Presiden Reagan seperti biasa di hadapan “fireplace” dan mengadakan “small-talk” dengannya, Naib Presiden Bush (Senior) ada bersama.

Kemudian baru diadakan mesyuarat dua delegasi di bilik mesyuarat khas. Ini disusuli dengan makan tengahari dan sidang akhbar.

Seluruh lawatan saya ke White House dirakam oleh jabatan Presiden Amerika Syarikat dan disimpan dalam Library Ronald Reagan. Video ini boleh dilihat di media sosial.

Saya juga mengadakan perjumpaan tidak rasmi dengan Presiden Bush (Senior) Presiden Bush (Junior), Presiden Bill Clinton di Washington dan di tempat-tempat lain. Biasanya saya membangkitkan soal minyak kelapa sawit dan sikap AS terhadap negara Islam.

Sebaliknya Najib disambut di Lapangan Terbang Washington oleh Duta Malaysia, tinggal di hotel milik Trump yang terkenal amat mahal. Najib mengguna kereta Mercedes. Tidak ternampak kereta panjang yang diberi untuk lawatan Najib dan pertemuan dengan Trump hanya selama 30 minit. Tidak ada makan tengahari dan sidang akhbar.

Memandang bahawa masa perjumpaan begitu terhad iaitu hanya 30 minit, dan tawaran Najib kepada Trump begitu tinggi, berjumlah hampir RM100 billion, kos yang ditanggung oleh Malaysia ialah sebanyak RM3.3 bilion (3.300,000,000 ringgit) satu minit. Ini boleh jadi satu rekod dunia.

Anak Tan Sri Megat Junid Megat Ayub, Datuk Megat Fairouz kata saya bayar bermillion kepada pelobi untuk berjumpa dengan Presiden Amerika. Ini kononnya diberitahu oleh bapanya.

Saya tidak tahu benar atau tidak kenyataan ini. Mungkin pegawai Wisma Putra yang mengurus perkara lawatan saya yang tahu. Yang saya tahu tidak ada arahan dari saya untuk lobi. Tak apalah Fairouz, anak sahabat saya nak cari makan.

Tak teringin ke AS utamakan negara jiran

Sebenarnya apabila sahaja saya menjadi PM duta besar Amerika Syarikat di Malaysia percaya, seperti dengan kebanyakan pemimpin negara yang baru dilantik, saya akan pergi mengadap Presiden Amerika Syarikat.

Duta itu datang ke pejabat saya untuk minta maaf kerana presiden terlalu sibuk dan tidak dapat berjumpa saya dalam masa yang terdekat.

Saya tidak kata apa-apa kepadanya. Tetapi petang itu juga saya beritahu Wisma Putra saya tidak berhajat pergi ke Washington jumpa presiden. Oleh itu tidak perlu sesiapa bersusah payah mendapat slot untuk saya. Duta Amerika pun berhenti usahanya.

Sebenarnya Wisma Putra sudah dimaklumkan lebih awal lagi akan keutamaan lawatan saya ke luar negara apabila sahaja saya jadi PM pada 1981. Saya utamakan lawatan ke negara-negara jiran anggota ASEAN, kemudian negara-negara kecil di lautan Pasifik, kemudian ke negara-negara Islam OIC dan akhirnya ke negara-negara Komanwel.

Jadual saya tidak termasuk United States of America. Mengikut jadual ini saya berkelapangan ke Amerika Syarikat selepas lawatan ke negara-negara dalam senarai saya.

Sebab itulah saya membuat lawatan ke Amerika Syarikat selepas tiga tahun (1984) jadi PM. Itu pun hanya secara sambilan semasa saya berada di Amerika Utara.

Saya yakin semua tarikh-tarikh lawatan saya ke luar negara direkod oleh Wisma Putra.

Tidak pernah saya tawar untuk membeli apa-apa dari Amerika Syarikat semasa lawatan saya. Dasar Malaysia pada ketika itu ialah berbaik-baik dengan semua negara tanpa mengira ideologi. Kita bersikap berkecuali dalam sebarang permusuhan antara negara asing.

Di antara yang memalukan kita berkenaan lawatan Najib ke Amerika Syarikat ialah laporan Newsweek yang berbunyi “Trump’s meeting with Malaysian Crook Najib reeks of the Swamp”.

Demikianlah buruknya lawatan Najib ke Amerika. Tak usahlah bohong kononnya dia dapat layanan lebih baik dari saya.

Najib tidak berani jumpa wartawan atau media. Tujuan sebenar lawatan ke Amerika Syarikat dan UK ialah untuk ambil gambar Najib bersama Presiden Amerika Syarikat dan PM UK.

Rakyat Malaysia bukan boleh diperbodoh dengan gambar-gambar ini. Mereka tidak gembira duit mereka berbillion dibelanja untuk dapat gambar.

TUN DR MAHATHIR MOHAMAD ialah bekas perdana menteri keempat Malaysia. Artikel pertama kali dimuat-naik di blog http://chedet.cc dengan tajuk ‘Najib dan Trump’. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian MalaysiaStyloNews.

KLIK BACA: Ketika Rakyat Menderita Najib Cakap Besar, Angan-Angan Di Amerika – Kadir Jasin

KLIK BACA: Apakah kita akan jumpa lagi duit KWSP, MAS, Khazanah dilabur Najib di AS – Tun Mahathir

KLIK BACA: Tulisan penuh Tun Mahathir – Talam Dua Muka ⇑

KLIK BACA: Sekarang ‘shopping’ kapal terbang, dulu kapal selam?

KLIK BACA1MDB rugi atas kertas seperti didakwa Annuar Musa terjawab di SINI

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share