JASIN – MELAKA: Lokasi di pinggir hutan menempatkan lebih 100 kubur lama dan artifak bersejarah berhampiran Kampung Chohong, di sini, awal tahun lalu, dipercayai mempunyai ‘penjaga’ dan dianggap sebagai kawasan keras oleh penduduk tempatan.

Penduduk ditemui percaya kawasan itu mempunyai penjaga dan keras, malah ada antara mereka pernah mengalami pengalaman pelik ketika berada di kawasan perkuburan itu.

Mereka percaya kubur serta artifak lama yang terdapat di situ adalah milik orang kenamaan serta pengasas kampung berkenaan.

Penjaga kubur itu Razain Abd Rashid, 35, mendakwa dia mengalami pelbagai pengalaman pelik sejak ditugaskan membersihkan kawasan kubur berkenaan yang mula mendapat perhatian pelbagai pihak awal tahun lalu.

Dakwanya dia pernah bermimpi didatangi seorang lelaki berpakaian serba kuning seperti raja, memintanya memasang kain kuning pada batu nisan berstuktur lebih tinggi atau penduduk bakal ditimpa musibah.

“Sebenarnya penduduk sudah lama mengadakan gotong-royong, tetapi tidak sebersih sekarang, hanya baru-baru ini saya diminta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya membuat jalan masuk seterusnya bersihkan kawasan itu secara lebih menyeluruh.

“Selepas dua minggu membersihkan kawasan ini secara sendirian, saya mengalami mimpi itu, pada mulanya tidak berani memasang kain kuning kerana bimbang dimarahi penduduk kampung berikutan perbuatan itu kelihatan seperti syirik dan bertentangan dengan ajaran Islam.

“Namun, selepas berfikir secara mendalam selama seminggu saya memasang kain berkenaan seperti permintaan lelaki yang dalam mimpi,” katanya ketika ditemui.

Razain berkata, dia mengambil keputusan itu atas dasar mahu menghormati si mati dan tidak berunsur syirik, malah dia juga tidak lagi mendengar cerita mengenai penduduk mengalami gangguan pelik selepas itu.

Menurutnya, dia juga kerap mendapat petanda menerusi mimpi jika ada pihak tidak bertanggungjawab yang mahu melakukan perkara tidak baik di kawasan tanah perkuburan lama itu.

“Setiap kali kalau ada orang datang dengan niat tidak baik, saya akan mendapat mimpi terlebih dulu, namun saya tidak akan berbuat apa-apa sehingga mereka melakukan sesuatu melampaui batas seperti aktiviti pemujaan.

“Sepanjang melakukan tugas pembersihan saya kerap menghidu bau wangi seperti mereka mengalu-alukan kedatangan saya,” katanya yang tinggal bersebelahan kubur lama terbabit.

Isteri Razain, Haniza Abd Karim, 33, berkata, dia turut mengalami mimpi pelik sebulan lalu iaitu berjumpa seorang lelaki berjubah putih, memakai serban serta memegang tasbih memandang ke arahnya.

“Muka lelaki itu amat bersih namun dia tidak berkata atau memesan apa-apa kepada saya. Namun berdasarkan reaksi wajahnya ketika itu yang sedang berdiri di tepi kubur dia seperti mahu memberitahu sesuatu.

“Saya yakin dia hanya mahu memperkenalkan diri sebagai pemilik kubur itu. Sebelum ini juga, saya pernah bermimpi enam orang berpakaian lengkap seperti hulubalang Melayu mengiring sesuatu berhampiran kubur yang batu nisannya diikat dengan kain kuning,” katanya.

Wanita itu berkata, mimpi dialaminya meyakinkan dirinya bahawa kubur lama dijaga suaminya mempunyai kaitan dengan raja Melayu kerajaan lama, selain dia pernah mendengar cerita penduduk mengenai tapak istana lama terletak berhampiran.

Mimpi pelik itu bukan hanya dialami pasangan terbabit sebaliknya ramai lagi penduduk kampung yang tinggal berhampiran kawasan itu.

Penduduk Hisham Md Jani, 47, berkata, arwah bapanya pernah memberitahu bahawa kubur lama itu adalah tempat persemadian individu tersohor juga pengasas kampung berkenaan.

Menurutnya, sekitar tahun 1970-an, kawasan itu aktif dengan aktiviti pemujaan oleh segelintir penduduk kampung dan mereka datang dari tempat lain untuk memohon ‘hajat’ masing-masing.

Sementara itu, Pengurus Besar Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) Mohd Nasruddin Rahman berkata, kajian berkenaan kubur lama itu sudah berjalan dan buat permulaan pihaknya mendapatkan maklumat menerusi sumber sekunder.

“Proses itu membabitkan kajian terhadap catatan sejarah Jasin, buku-buku, manuskrip dan juga sumber lisan yang lain,” katanya. – MyMetro

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share

SHARE