Tujuh pengundi kawasan Kota Melaka hari ini memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Aktivis sosial Chan Tsu Chong yang mewakili enam lagi plaintif memfailkan permohonan itu melalui peguam Datuk S. Ambiga menerusi Tetuan Daim & Gamany di Mahkamah Tinggi Ayer Keroh hari ini.

Chan, 29, anggota Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (BERSIH), menamakan SPR, Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dan Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh sebagai responden pertama hingga ketiga.

Enam lagi pemohon ialah Neo Lih Xin, 31, Azura Talib, 40, Lim Kah Sheng, 31, Norhizam Hassan Baktee, 51, Amir Khairudin, 53 dan Amran Atan, 47.

Dalam permohonan itu, mereka menuntut satu deklarasi bahawa cadangan untuk persempadanan kawasan pilihan raya oleh SPR pada kajian 2016 adalah tidak berperlembagaan kerana tidak selaras dengan Fasal 113 dan Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan selain tidak sah dan terbatal.

“Bagi pendapat kami ada pelanggaran dari segi perlembagaan yang dilakukan oleh SPR semasa mereka membuat syor pertama dan kedua persempadanan semula khasnya di negeri Melaka,” kata Chan kepada pemberita ketika ditemui di luar mahkamah.

Chan mendakwa tindakan SPR ini menyebabkan berlaku jurang jumlah pengundi yang ketara di beberapa kawasan di negeri Melaka khususnya melibatkan kawasan Parlimen Kota Melaka dan Dewan Undangan Negeri Taboh Naning.

Dalam permohonan itu juga, mereka memohon kebenaran mahkamah supaya dibenarkan mendengar kes ini dengan penuh dan memohon supaya satu penggantungan dibuat terhadap prosiding proses persempadanan semula.

Menurut Chan, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Vazeer Alam Mydin Meera menetapkan 21 April ini untuk perbicaraan permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan oleh pihaknya. – Bernama

KLIK BACA: Larangan kutip derma semasa khutbah Jumaat, Mufti Wilayah patut letak jawatan, kata Zamihan

KLIK BACATerjawab sikap pelik PAS pada 2013 jika dakwaan Rafizi benar, kata AMANAH

KLIK BACA: Hishammuddin hampir pasti jadi Perdana Menteri Malaysia – ZAM

KLIK BACAZahid tak mungkin berani melawan, dipencenkan diminta tidak bertanding pun akan diam – Shahbudin

KLIK BACADr Mahathir: Siapa arah Apandi supaya tak jelaskan salah faham?

KLIK BACA: Cerita lawak Koboi dan Tuan Puteri

KLIK BACA: Ada yang bertanya kenapa skandal mereka begitu susah diheret ke MAHKAMAH?

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share

SHARE