Pelancaran model iPhone 7 yang bakal berlangsung 7 September ini oleh syarikat gergasi ‘buah’, Apple Inc benar-benar tepat pada masanya.

Ianya susulan Samsung yang secara tidak sengaja telah melakukan kesilapan besar berhubung masalah bateri pada keluaran terbaharu Galaxy Note 7 yang dilaporkan meletup ketika dicas.

Biarpun bukan sesuatu yang disengajakan, isu yang dihadapi Samsung itu disebut-sebut oleh pelbagai pihak sebagai satu ‘rahmat’ buat Apple.

Tetapi pada masa yang sama, Apple juga tentunya turut merasakan tekanan dalam memastikan inovasi terbaharu mereka itu tidak akan mengalami masalah dan menepati selera pengguna semasa.

Jika sebelum ini ramai yang berasakan iPhone 7 akan ‘membosankan’ namun dengan kontroversi yang melanda Samsung, ramai pula yang tidak sabar untuk melihat apa bakal ditawarkan iPhone 7.

KLIK BACA: Galaxy Note 7 meletup, jualan dihentikan sementara

Pun begitu portal CNBC News yang memetik kenyataan seorang penganalisis aplikasi, Daniel Newman melaporkan, Apple tetap punya isu tersendiri yang perlu diselesaikan jika mahu produk terbaharu mereka itu bersaing dengan Samsung.

“Apa yang penting adalah apa yang ditawarkan telefon berkenaan, bukan jenamanya.

“Sistem operasi Android berjaya menarik perhatian kerana ia mampu memberikan pengguna apa yang diinginkan mereka.

“Jika iPhone 7 yang dijual dengan harga tinggi gagal memuaskan hati pengguna, ia tetap akan mempunyai masalah,” kata Newman, lapor CNBC.

Apple dijangka akan mengadakan satu majlis khas di San Fransisco pada 7 September ini untuk melancarkan siri terbaharu iPhone.

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share

SHARE