Seorang pekerja menghias kek yang dijual pada harga RM1 sepotong.

TANGKAK – Niat sekadar suka-suka menjual kek sepotong dengan hanya RM1 nyata memberi impak besar buat seorang pengusaha bakeri apabila kedainya itu kini menjadi tumpuan pelanggan.

Malah, kesemua kek yang dihasilkan sekitar 700 hingga 800 potong sehari itu laris kurang dua jam selepas ia dibuka untuk jualan.

Menurut pengusaha D’ Kaseh Bakery, di Tanjung Agas di sini, Halimahtussadiah Darus, 39, idea memperkenalkan kek sepotong RM1 itu pada mulanya sebagai meraikan hari ulang tahun kelahiran anak sulungnya pada 17 November lalu.

“Konsep ini baru lagi diperkenalkan iaitu pada 18 November, sehari selepas hari ulang tahun anak kami. Masa itu saya dan suami (Abdul Razak Arshad, 44) cadang nak buat promosi istimewa di bakeri ini sempena hari lahirnya.

Advertisement

“Sebelum ini pun bakeri kami memang selalu buat promosi istimewa pada hari-hari tertentu seperti Hari Merdeka, Hari Malaysia dan pelbagai lagi. Bentuk promosi pula berbeza-beza seperti sebelum ini, kami beri potongan untuk harga kek atau beri cupcake percuma kepada pelanggan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sambutan luar biasa

Menurut Halimahtussadiah, promosi kek sepotong RM1 itu pertama kali diperkenalkan selepas mengambil kira segala kos yang perlu ditanggung.

“Saya berbincang dengan suami terlebih dahulu dan kami buat kiraan tepat untuk memastikan untung rugi menjual kek RM1 ini.

“Bagaimanapun, selepas meneliti segala sudut dan akhirnya saya sedar bahawa syarat untuk menghasilkan kek dengan harga rendah ini perlu mendapatkan nisbah yang tepat kerana kami perlu kurangkan sedikit kuantiti tepung berbanding kek yang dijual dengan harga biasa,” katanya.

Halimahtussadiah berkata, dia tidak menyangka promosi istimewa yang diperkenalkan itu mendapat sambutan menggalakkan apabila 360 potong daripada 30 biji kek pelbagai perisa habis dijual kurang daripada sejam.

“Kami lihat pelanggan berkerumun untuk dapatkan kek ini. Malah ada yang beratur panjang, tapi kerana kuantitinya terhad jadi ada yang tak dapat beli.

“Masa tu rasa kasihan sebab mereka dah beratur lama untuk dapatkan kek tapi tiada rezeki. Justeru atas kehendak pelanggan, kami lanjutkan lagi tempoh promosi pada keesokan harinya,” katanya mengakui pada awalnya mahu menjual kek promosi itu sehari sahaja.

Viral tarik pelanggan dari merata negeri

Ibu kepada tiga cahaya mata ini berkata, sebanyak lapan jenis perisa kek dihasilkan iaitu mangga, strawberi, keju, coklat, tiramisu , kiwi, pandan dan blueberry.

Katanya yang telah berkecimpung dalam dunia bakeri sejak 2011, meskipun baru dua minggu promosi itu dijalankan, dia telah menerima pelanggan dari pelbagai negeri.

“Setiap hari memang ada pelanggan yang tak dapat beli meskipun dah beratur panjang. Pelanggan kami bukan sahaja dari Muar dan Tangkak tapi dari Kuala Lumpur dan Singapura pun ada.

“Berita kek RM1 ini jadi lebih meluas apabila pelanggan sendiri yang viralkan. Jadi daripada sehari ke sehari promosi ditangguhkan sehingga tak sedar dah hampir dua minggu,” katanya sambil memberitahu sebanyak 10 hingga 12 kilogram tepung diperuntukkan untuk menghasilkan 60 ke 70 biji kek dalam tempoh sehari.

Jualan lain turut laris

Halimahtussadiah berkata, kesan daripada promosi kek RM1 itu nyata memberi hasil positif dalam perniagaannya.

“Saya akui jualan kek RM1 ini memang tidak banyak untung, namun ia dapat diatasi dengan pembelian barang secara pukal. Tapi yang menggembirakan kami apabila melihat kek dan roti lain turut habis dijual.

“Selain itu, saya juga tidak keberatan untuk berkongsi ilmu strategi ini kepada rakan-rakan lain yang menjalankan perniagaan sama seperti rakan di Batu Pahat bagi memudahkan pelanggan di sana,” katanya yang mengakui terpaksa mengehadkan jumlah kek kerana tempat simpanan agak terhad.

Namun, Halimahtussadiah berkata, atas sambutan menggalakkan, dia bercadang meneruskan promosi kek RM1 itu tetapi dalam tempoh tertentu.

“Mungkin selepas ini jualan tidak diadakan setiap hari, tetapi seminggu beberapa kali sahaja. Ini kerana kami juga perlu fokus untuk tempahan pelanggan lain seperti kek perkahwinan dan sebagainya.

“Namun, untuk hentikan promosi ini agak sukar kerana sudah diketahui ramai. Jadi ini sebagai salah satu cara kami beri peluang pelanggan beli kek RM1,” katanya. – Sinar Harian

KLIK BACA: Mahfuz: Walak Najib walak ‘kongsi gelap’

KLIK BACA: Dr Mahathir didakwa hina Nabi Muhammad, NGO buat laporan polis

KLIK BACA: Peguam Tun M tuduh pembantu Rosmah sebar fitnah konon Tun M perlekeh Nabi Muhammad

Advertisement

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share