Suasa Airlines Sdn Bhd (Suasa Airlines) pada Isnin didenda RM380,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana beroperasi tanpa Permit Perkhidmatan Udara (ASP) yang sah dalam perjalanan antara Kuala Lumpur dan Langkawi.

Hakim Harith Sham Mohamed Yasin menjatuhi hukuman itu selepas wakil syarikat berkenaan mengaku bersalah atas pertuduhan membawa penumpang untuk sewa atau upah dalam perjalanan tidak berjadual di antara Kuala Lumpur dan Langkawi tanpa ASP yang sah.

Suasa Airlines melakukan kesalahan itu pada Julai tahun lepas, di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor, mengikut Seksyen 36 Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015.

Syarikat itu membayar denda tersebut. Pendakwaan dikendalikan Ketua Unit Jenayah Am dan Ketenteraman Awam, Mohamad Abazafree Mohd Abbas dan Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz.

Mengikut kenyataan Pengerusi Eksekutif Mavcom, Tan Sri Abdullah Ahmad perkara-perkara berkaitan pengeluaran, penggantungan dan pembatalan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) dan ASP adalah di bawah bidang kuasa Mavcom sejak penubuhannya pada 1 Mac 2016.

Advertisements

Katanya, syarikat-syarikat penerbangan yang tidak mempunyai ASL atau ASP yang sah tidak dibenarkan untuk membuat sebarang operasi perkhidmatan udara komersial di Malaysia.

Beliau berkata, bagi membolehkan suatu entiti menjalankan operasi sebagai syarikat penerbangan komersial, entiti tersebut perlu mempunyai kedua-dua iaitu ASL atau ASP yang dikeluarkan oleh Mavcom dan Perakuan Pengendali Udara (AOC) yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerbangan Awam Malaysia.

Katanya, pada 22 Julai 2016, Mavcom telah menolak permohonan Suasa Airlines untuk mengendalikan suatu penerbangan komersial tidak berjadual dari Kuala Lumpur ke Langkawi kerana syarikat penerbangan tersebut tidak memiliki ASP yang sah.

Namun begitu, pada hari yang sama, Suasa Airlines masih mengendalikan penerbangan tersebut sebagai ‘penerbangan demonstrasi’ dan berikutan itu, Suruhanjaya kemudiannya menjalankan suatu siasatan menyeluruh yang seterusnya dibawa kepada Jabatan Peguam Negara.

“Mavcom ingin menekankan kepentingan mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan yang merupakan keperluan asas untuk penyertaan dalam industri ini. Syarikat-syarikat penerbangan hendaklah mempunyai semua kelulusan daripada pihak berkuasa sebelum beroperasi, seperti mana yang dikehendaki bukan sahaja oleh undang-undang Malaysia tetapi juga menurut taraf dan amalan-amalan antarabangsa.

“Langkah-langkah ketat yang diambil oleh Suruhanjaya adalah untuk melindungi pengguna dan oleh itu, Suruhanjaya tegas dalam pendiriannya dan akan mengambil tindakan terhadap pesalah-pesalah yang tidak mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan industri ini,” katanya. – Bernama


Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share